Berkembangnya aliran Mahayana (Abad Pertama SM-Abad ke-2) Sejarah_agama_Buddha

Duit syling emas Empayar Kushan memperlihatkan Maharaja Kanishka I (~100–126 Masihi) dengan sebuah lukisan Yunani Buddha, dengan perkataan "Boddo" dalam huruf Yunani.

Berkembangnya agama Buddha Mahayana dari abad ke-1 SM diiringi dengan perubahan kompleks politik di India barat laut. Kerajaan-kerajaan Yunani-India ini secara bertahap dikalahkan dan diasimilasi oleh kaum nomad Indo-Eropah yang berasal dari Asia Tengah, yaitu kaum Schytia India, dan lalu kaum Yuezhi, yang mendirikan Empayar Kushan dari kira-kira tahun 12 SM.

Kaum Kushan menunjang agama Buddha dan majlis keempat Buddha kemudian dibuka oleh Maharaja Kanishka pada kira-kira tahun 100 Masihi di Jalandhar atau di Kashmir. Peristiwa ini sering kali dikaitkan dengan munculnya aliran Mahayana secara rasmi dan pecahnya aliran ini dengan aliran Theravada. Mazhab Theravada tidak mengakui kesahan majlis ini dan sering kali menyebutnya "majlis sami bidaah".

Konon Kanishka mengumpulkan 500 orang sami di Kashmir, yang diketuai oleh Vasumitra, untuk menyunting Tripitaka dan memberikan ulasan. Maka konon pada majlis ini telah dihasilkan 300,000 rangkap dan lebih dari 9 juta dalil. Karya ini memerlukan masa 12 tahun untuk diselesaikan.

Majlis ini tidak berdasarkan hukum Pali yang asli (Tipitaka). Sebaliknya, sekumpulan teks-teks suci disahkan dan juga prinsip-prinsip dasar doktrin Mahayana disusun. Teks-teks suci yang baru ini, biasanya dalam bahasa Gandhari dan askara Kharosthi kemudian ditulis ulang dalam bahasa Sanskerta yang sudah menjadi bahasa klasik. Bagi banyak pakar, hal ini merupakan titik peralihan yang penting dalam penyebaran pemikiran Buddha.

Wujud baru Buddhisme ini ditandai dengan pelakuan Buddha yang mirip dilakukan bagaikan Dewa atau bahkan Tuhan. Gagasan yang berada di belakangnya ialah bahawa semua makhluk hidup memiliki alam dasar Buddha dan sewajarnya bercita-cita mencapai "Kebuddhaan". Ada pula asimilasi keagamaan terjadi kerana pengaruh banyak kebudayaan yang berada di bahagian barat laut India, dan di Empayar Kushan.